Terima rasuah lindung PATI, tiga penguat kuasa antara empat ditahan

6 Jan 2026, 8:36 AM
Terima rasuah lindung PATI, tiga penguat kuasa antara empat ditahan

MELAKA, 6 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan empat individu termasuk tiga anggota penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan di negeri itu semalam, selepas disyaki terlibat rasuah berkaitan perlindungan pekerja asing tanpa izin.

Menurut sumber kesemua suspek termasuk seorang wanita yang merupakan isteri kepada penguat kuasa terlibat, berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan di Pejabat SPRM Melaka dari 11.50 pagi hingga 4.50 petang.

Dua anggota penguat kuasa itu dipercayai menerima wang suapan secara bulanan daripada majikan atau syarikat sekitar Melaka sebagai balasan untuk melindungi premis serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggaji pekerja asing tanpa izin atau tanpa permit kerja sah.

“Wanita terbabit disyaki bersubahat dengan suaminya iaitu membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan terlibat. Bayaran dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga transaksi bank,” katanya.

Seorang lagi penguat kuasa daripada jabatan sama ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada pengurus sebuah restoran sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap warga asing yang bekerja tanpa dokumen perjalanan yang sah awal tahun lepas.

Kesemua suspek direman sehingga 11 Jan selepas permohonan reman dibenarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes tersebut merupakan hasil kerjasama risikan dan operasi bersama-sama polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619