AGENDA

Menteri: 21 jalan terjejas akibat bencana, kerja baik pulih giat dilaksana

7 Jan 2024, 5:25 AM
Menteri: 21 jalan terjejas akibat bencana, kerja baik pulih giat dilaksana

GUA MUSANG, 7 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 21 lokasi yang terjejas akibat bencana alam melibatkan tujuh negeri setakat Jumaat lepas, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia membabitkan lapan jalan negeri dan 13 jalan Persekutuan di Johor, Pahang, Kelantan, Perak, Terengganu, Kedah dan Selangor.

"Empat lokasi membabitkan banjir manakala cerun runtuh (10 lokasi), jalan runtuh (empat lokasi) dan jambatan rosak atau runtuh (tiga lokasi).

"Johor mencatatkan kawasan yang paling banyak terjejas akibat bencana iaitu (enam kawasan), Pahang (empat kawasan), Kelantan dan Perak (tiga kawasan), Kedah dan Terengganu (dua kawasan) serta Selangor (satu kawasan)," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melawat Jalan Persekutuan FT008 Seksyen 258.00 Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Paloh, di sini hari ini.

Semalam, Nanta memaklumkan KKR memperuntukkan lebih RM50 juta bagi kerja-kerja membaik pulih jalan runtuh dan rosak di seluruh negara yang terjejas semasa banjir baru-baru ini.

"Kami akan segera baik pulih di lokasi terjejas akibat bencana dengan secepat mungkin kerana ketika ini masih lagi berlaku Monsun Timur Laut, jadi kami akan buat pemantauan dan siasatan anggaran jumlah untuk dibaiki," katanya.

Mengulas mengenai tinjauan beliau di Jalan Persekutuan FT008 Seksyen 258.00 LTU, Nanta berkata projek berkenaan telah mencapai 58 peratus kemajuan fizikal dan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Setakat ini tiada masalah besar berlaku walaupun ada beberapa lot tanah belum selesai penyerahan tetapi kami jangka ia dapat dilakukan kerana projek ini dijangka siap pada 2027," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619