AGENDA

Kos baiki jalan rosak akibat bah seluruh negara lebih RM100 juta

14 Jan 2025, 2:00 PM
Kos baiki jalan rosak akibat bah seluruh negara lebih RM100 juta

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Kos pembaikan jalan akibat banjir ekoran Monsun Timur Laut (MTL) mencecah RM101.57 juta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ia melibatkan kos pembaikan jalan di negeri-negeri di Semenanjung berjumlah RM45.37 juta meliputi pembaikan berkala pavement (jalan berturap), berkala bukan pavement, jambatan dan lampu isyarat serta lampu jalan.

Beliau berkata di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, pembaikan jalan akibat banjir melibatkan kos RM56.2 juta meliputi pembaikan berkala pavement dan berkala bukan pavement.

Pada masa sama, Nanta berkata kos pembaikan cerun runtuh di sembilan lokasi iaitu masing-masing dua di Kelantan dan Terengganu serta lima di Perak berjumlah kira-kira RM41 juta.

“Mungkin ada yang belum dilaporkan, kita sentiasa menerima laporan. Kita juga telah menggerakkan Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia atau BiGBen,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini, hari ini.

Sementara itu, Nanta mencadangkan supaya sistem merit dilaksanakan bagi mengukur tahap prestasi syarikat konsesi dan kontraktor dalam pelaksanaan tugas sekali gus meningkatkan akauntabiliti mereka.

Beliau berkata sistem itu akan dibincangkan dengan lebih komprehensif di peringkat pengurusan KKR bersama pihak berkepentingan supaya kata sepakat dapat dicapai bagi merealisasikan pelaksanaannya.

“Ini bukan pertama kali dibincangkan, jadi bagi saya ada baiknya kalau kita gunakan sistem merit sebab kita kena ada penanda aras. Jadi, kalau kita gunakan sistem merit mungkin boleh menggalakkan mereka ini lebih tekun dalam menggalas tanggungjawab mereka.

“Biarlah kita buat penelitian dulu, sekarang kita buat kajian bagaimana apabila kita gunakan sistem itu, sistem itu adalah lebih adil,” katanya.

Terdahulu, Nanta ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan itu berkata selain sistem merit, platform pengurusan setiap projek juga akan dipantau secara telus daripada fasa perancangan sehingga ke fasa penyelenggaraan.

“Kita juga boleh memanfaatkan sistem data besar (big data) untuk menganalisis prestasi projek dan mengenal pasti potensi pembaikan sebelum masalah timbul. Dengan pengurusan lebih sistematik, kita yakin setiap projek dilaksanakan akan memberi impak yang maksimum kepada masyarakat dan negara,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619