AGENDA

Lebih RM50 juta diperuntuk baiki jalan rosak, runtuh akibat bah

6 Jan 2024, 8:46 AM
Lebih RM50 juta diperuntuk baiki jalan rosak, runtuh akibat bah

JELI, 6 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan lebih RM50 juta bagi kerja membaik pulih jalan runtuh dan rosak di seluruh negara yang terjejas semasa banjir baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata peruntukan kos tersebut melibatkan 81 projek di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Johor dan Pahang.

"Keseluruhan kos baik pulih jalan-jalan yang rosak akibat banjir di Kelantan berjumlah RM10.6 juta. Kita sudah membuat kajian dan kerja baik pulih memerlukan peruntukan lebih RM50 juta, yang mana ada projek sudah mula dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi jalan runtuh dan pembinaan jambatan panel keluli bermodular atau 'Bailey bridge' di KM73.850 Jalan Kampung Sungai Sam-Jeli (FT 66) berhampiran Kampung Kubur Datu di Jeli, hari ini.

Nanta berkata jalan yang rosak sejak Isnin lalu itu melibatkan kos bagi projek pembinaan jalan kekal dan dijangka siap pada April, iaitu sebelum sambutan Aidilfitri.

"Jalan yang runtuh ini dilalui kira-kira 10,000 kenderaan setiap hari dan bagi memudahkan penduduk, laluan sementara iaitu jambatan Bailey dibina bagi memudahkan pergerakan penduduk dan dijangka siap Rabu ini.

"Pada masa sama, jalan kekal juga giat dilaksanakan yang mengambil tempoh lebih dua bulan untuk disiapkan," katanya.

Sementara itu beliau berkata pemasangan garisan bersinar dalam gelap di laluan Lebuh Raya Timur Barat (Jeli-Grik) perlu dipertimbangkan dari segi kemampuan kewangan.

Keperluan untuk pemasangan garisan berkenaan sememangnya ada di laluan Lebuh Raya Timur Barat, namun ia membabitkan kos tinggi, katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619