AGENDA

ICJ dengar jenayah Israel ke atas Palestin minggu depan

3 Jan 2024, 2:30 PM
ICJ dengar jenayah Israel ke atas Palestin minggu depan

JOHANNESBURG, 3 JAN: Kes genosid di Gaza yang didakwa dilakukan oleh Israel akan dibentangkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), di The Hague minggu depan, menurut seorang pegawai Kementerian Luar.

Kes itu dijadual didengar pada 11 dan 12 Januari, lapor Anadolu.

"Kami akan berada di Mahkamah ICJ pada 11 Januari. Kami akan membentangkan kes mengenai pandangan kami yang berasaskan bukti, termasuk niat khusus jenayah genosid, berdasarkan kenyataan pemimpin," menurut Zane Dangor, ketua pengarah Kementerian Luar kepada penyiar nasional SABC pada lewat Selasa.

Afrika Selatan yang menyokong perjuangan Palestin sejak beberapa dekad lepas, memulakan prosiding di ICJ bulan lalu memohon mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah genosid yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza, dan memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.

Negara itu juga memohon mahkamah memutuskan supaya Israel segera menghentikan tindakan keganasannya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Israel pada Selasa berkata pihaknya akan hadir di hadapan ICJ untuk membantah tuduhan genosid oleh Afrika Selatan itu.

Agensi Anadolu baru-baru ini menerbitkan sebuah buku berjudul The Evidence, yang mengandungi visual yang mendedahkan dakwaan tindakan jenayah oleh Israel di Gaza.

Afrika Selatan menggunakan bukti foto itu di ICJ sebagai bukti kesnya.

Jumlah kematian akibat serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober, kini melebihi 22,000, dengan lebih separuh wanita dan kanak-kanak.

Kebanyakan penduduk wilayah itu yang berjumlah lebih 2.2 juta, hidup dalam kepungan dan pengeboman berterusan, hilang kediaman dan kekurangan bekalan makanan.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619