AGENDA

Pakar: Audit berkala sistem pangkalan data, masukkan maklumat komersial

3 Jan 2024, 5:37 AM
Pakar: Audit berkala sistem pangkalan data, masukkan maklumat komersial

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dilancarkan kerajaan semalam merupakan satu penambahbaikan dalam memastikan tadbir urus awam yang lebih baik, terutamanya dalam menjamin dasar sosioekonomi dilaksanakan dengan baik melalui orientasi data menyeluruh.

Penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata bagaimanapun, selain data profil individu dan isi rumah, Padu juga boleh diperluas untuk merangkumi data mengenai perniagaan dan premis komersial di negara ini.

"Hal ini bagi memastikan sistem itu juga melaksanakan tugas melihat kepada potensi manipulasi sistem pengagihan kewangan yang disebabkan oleh ketidaksamaan harga barangan di seluruh rantau disebabkan oleh antaranya penyimpanan stok dan orang tengah yang menyebabkan kenaikan harga.

"Padu memerlukan data ini untuk memastikan sistem itu dapat menangani sektor komersial terlibat dalam menyediakan keperluan asas kepada orang ramai termasuk restoran dan produk isi rumah, serta memastikan mereka yang mengendalikan perniagaan berskala kecil dan besar tidak terpinggir daripada sistem berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Nirwandy berkata kerajaan perlu memberitahu orang ramai dalam semua platform, khususnya media sosial, mengenai fungsi Padu untuk menjamin bahawa seluruh lapisan masyarakat dapat menggunakan sistem itu tanpa terlalu banyak gangguan.

Sementara itu, profesor daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Rusli Abdullah mencadangkan supaya kerajaan menjalankan audit berkala untuk mengenal pasti kelemahan dalam sistem itu.

Beliau berkata langkah ini akan membolehkan sebarang isu ditangani segera, serta memastikan perisian, sistem operasi dan aplikasi sentiasa dikemas kini dengan penyelesaian keselamatan terkini untuk mengurangkan potensi kelemahan dalam memastikan sistem keselamatan yang terbaik.

"Kerajaan perlu merekayasa semula proses tertentu yang tidak relevan dan penting supaya sistem itu menjadi lebih pintar dan dikendalikan secara rasional," katanya yang turut menyarankan prosedur sistem sandaran dan pemulihan serta pelaksanaan sandaran data berkala dan menguji proses pemulihan untuk meminimumkan kesan kehilangan data atau kegagalan sistem yang mungkin berlaku.

Padu ialah pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu, menggabungkan data dari jabatan dan agensi kerajaan, mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia serta memberikan gambaran seadil-adilnya mengenai kedudukan sosioekonomi setiap isi rumah rakyat Malaysia.

Sistem itu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), yang turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi lain.

Pendaftaran dibuka kepada orang ramai bermula semalam hingga 31 Mac dan pengguna boleh mengemas kini dan mengesahkan 30 butiran peribadi termasuk nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat kediaman.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619