ad
AGENDA

Menteri: Perbaharui lesen, cukai jalan di aplikasi MyJPJ bermula Februari

2 Jan 2024, 3:53 AM
Menteri: Perbaharui lesen, cukai jalan di aplikasi MyJPJ bermula Februari

SHAH ALAM, 2 JAN: Orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu (LMM) menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.

Selain menjimatkan masa dan kos, menteri pengangkutan berkata kemudahan itu juga mengurangkan kesesakan urus niaga fizikal di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lapor Berita Harian.

"Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

"Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital ketika pembaharuan akan menikmati rebat RM5, bermula 1 Februari sehingga 31 Disember," kata Anthony Loke.

Katanya, inisiatif itu tidak terpakai kepada warga asing atau pemegang pas, permit jangka masa panjang, kad pengenalan pemastautin sementara serta kad pengenalan pemastautin tetap.

Dalam pada itu, Loke memberitahu pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan 2024 masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

Jelasnya lagi, JPJ akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan selepas stok lama di cawangan atau kiosk habis.

"LKM baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam," katanya lagi.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.