AGENDA

Program setahun kerajaan Madani buka tirai, sedia banyak acara menarik

8 Dis 2023, 1:24 AM
Program setahun kerajaan Madani buka tirai, sedia banyak acara menarik

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang menyediakan pelbagai program menarik berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula hari ini.

Tumpuan pastinya terhadap kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-Cuti Cikgu serta saringan kanser payudara dan kanser serviks yang diberikan secara percuma, selain kempen antigangguan seksual.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai barangan keperluan menerusi Jualan Mega Madani yang melibatkan 226 operator jualan terdiri daripada usahawan, pasar raya besar dan agensi yang menawarkan potongan harga 30 peratus.

Bersempena dengan program itu juga, petang ini bakal berlangsung pelancaran MYNEXT Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pertukaran dokumen Memorandum Transformasi TVET yang dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Orang ramai yang ingin datang hari ini dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, selain Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 yang sedang berlangsung sejak 5 Disember.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 November tahun lepas.

Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619