AGENDA

Negara perlukan 25,000 tenaga kerja bidang keselamatan siber pada 2025

24 Nov 2023, 7:31 AM
Negara perlukan 25,000 tenaga kerja bidang keselamatan siber pada 2025

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 25,000 tenaga kerja dalam bidang keselamatan siber pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ketika ini, dianggarkan terdapat hanya 13,000 pekerja di pasaran.

“Kerajaan memandang serius keperluan untuk meningkatkan keupayaan, kapasiti dan bilangan profesional, serta tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber bagi melengkapkan ekosistem keselamatan siber negara.

“Bagi menangani kekurangan 12,000 pekerja yang diperlukan, kerjasama antara pihak kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri amat kritikal,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan selepas merasmikan program Pembangunan Kapasiti dan Dialog Awam Rang Undang-Undang Keselamatan Siber di Institut Antarabangsa Pemikiran Tamadun Islam dan Alam Melayu di sini hari ini.

“Saya menyambut baik inisiatif yang dilancarkan hari ini, melalui kerjasama strategik antara Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4), (NACSA), Institusi Pengajian Tinggi dan pemain industri dalam usaha untuk menambah baik dan menyegerakan kesediaan, keupayaan dan kecekapan keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Anwar berkata inisiatif itu didukung melalui sumbangan biasiswa bernilai RM5 juta oleh Majlis Suruhanjaya Eropah kepada NACSA bagi membantu mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan keselamatan siber negara.

“Saya dimaklumkan sebanyak 2,000 rakyat Malaysia akan memperoleh manfaat daripada biasiswa ini melalui kursus-kursus keselamatan siber bertaraf antarabangsa, serta penempatan pegawai dan penyelidik di NACSA,” katanya.

Turut hadir sama pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619