AGENDA

Pesawat pertama bawa kanak-kanak Palestin dirawat di UAE

18 Nov 2023, 10:17 AM
Pesawat pertama bawa kanak-kanak Palestin dirawat di UAE

ABU DHABI, 18 NOV: Pesawat pertama membawa seramai 15 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan keluarga mereka, tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif UAE dalam menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 kanak-kanak Palestin yang ditemani keluarga mereka dari Semenanjung Gaza.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi dari Lapangan Terbang Antarabangsa El Arish di Mesir membawa kanak-kanak yang paling memerlukan bantuan perubatan segera.

Ini termasuk mereka yang mengalami kecederaan parah dan melecur serta pesakit kanser yang memerlukan rawatan terperinci.

Penolong Menteri bagi Hal Ehwal Luar untuk Kesihatan Maha Barakat berkata semua hospital di UAE bersedia untuk menerima baki kanak-kanak dan keluarga mereka dalam menyediakan penjagaan komprehensif serta perkhidmatan khusus mengikut piawaian antarabangsa.

Langkah itu bagi memastikan mereka pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan selamat, katanya.

“Sejak tercetusnya krisis, UAE segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan bekalan kecemasan ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan mengeluarkan arahan untuk memperuntukkan pakej bantuan kemanusiaan sebanyak US$20 juta dan mengarahkan penubuhan hospital medan di Gaza sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3'.

Inisiatif membawa kanak-kanak dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan di UAE juga atas arahan Sheikh Mohamed.

Maha berkata UAE telah menghantar 51 pesawat membawa 1,400 tan bekalan makanan, perubatan dan bantuan untuk menyokong usaha bantuan di Semenanjung Gaza.

Bantuan itu diselaraskan dengan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-BERNAMA-WAM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619