AGENDA

50 individu bakal terima tajaan tunai haji, sasar golongan kurang mampu

10 Nov 2023, 3:00 PM
50 individu bakal terima tajaan tunai haji, sasar golongan kurang mampu
50 individu bakal terima tajaan tunai haji, sasar golongan kurang mampu

SHAH ALAM, 10 NOV: Kira-Kira 50 individu bakal menerima tajaan penuh kos menunaikan haji sehingga RM13,000 pada tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kriteria layak akan digariskan supaya Insentif Haji Muassasah yang diperkenalkan sejak 2017 sampai kepada golongan sasar.

“Kita akan kenal pasti yang betul-betul layak, mungkin satu atau dua (jemaah) setiap daerah untuk kita taja sepenuhnya dengan kos lebih kurang RM12,000 hingga RM13,000.

“Kriteria akan digariskan. Mungkin dalam kelompok B40 (berpendapatan rendah) yang teringin nak pergi haji tapi tak mampu. Mungkin pemimpin masyarakat dalam kalangan imam, guru agama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

[caption id="attachment_612787" align="aligncenter" width="814"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepda media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2024 di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri pada 10 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata bagi jemaah muassasah lain, mereka bakal menerima bantuan subsidi antara RM1,000 hingga RM1,500, lebih tinggi berbanding sumbangan wang tunai RM500 sebelum ini.

“Bantuan ini kita akan masukkan dalam akaun tabung haji mereka. Kita akan bantu ikut kemampuan dana RM3 juta yang diperuntuk tahun depan,” katanya.

Terdahulu ketika membentang belanjawan tahun depan, Amirudin mengumumkan peningkatan peruntukan skim itu dari RM1.5 juta kepada RM3 juta.

Tahun ini Selangor menyalur bantuan berkenaan kepada 3,000 jemaah haji melibatkan peruntukan berjumlah RM1.653 juta.

Selain wang tunai, jemaah juga turut menerima kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619