AGENDA

Ketirisan wang awam, perkukuh hak Mahkamah Syariah dibincang di Parlimen hari ini

30 Okt 2023, 12:24 AM
Ketirisan wang awam, perkukuh hak Mahkamah Syariah dibincang di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Tindakan kerajaan dalam menangani ketirisan wang awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 dan 2021 serta pengukuhan hak dan kedudukan Mahkamah Syariah antara isu akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, persoalan mengenai isu ketirisan wang dan teguran dalam LKAN itu akan diajukan Wong Kah Woh (PH-Taiping) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) pula meminta Perdana Menteri menyatakan usaha mengukuhkan hak dan kedudukan Mahkamah Syariah seperti termaktub dalam Perlembagaan serta memperluas fungsinya untuk mengangkat martabat undang-undang syariah di negara ini.

Selain itu, Hassan Saad (PN-Baling) bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai usaha kerajaan dalam mengawal harga barang seperti gula, beras dan barang asas lain yang kini membebankan rakyat.

Sementara itu, V Ganabatirau (PH-Klang) turut mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenai dasar yang baharu supaya penglibatan lebih menyeluruh Ahli Parlimen dalam penyeragaman dasar tempatan kawasan masing-masing.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula bertanyakan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai usaha kementerian untuk memperluas penggunaan perkhidmatan Internet melalui Starlink dengan melancarkan satelit milik negara.

Usai sesi itu, tumpuan akan terarah kepada sesi penggulungan bagi peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 oleh setiap kementerian.

Penggulungan oleh kementerian itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan seterusnya diikuti perbahasan rang undang-undang tersebut bagi peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari dari 9 Oktober hingga 30 November.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619