AGENDA

Mahkamah Syariah perlu diperkasa, tolak penangguhan kes tanpa alasan kuat

22 Jul 2025, 9:53 AM
Mahkamah Syariah perlu diperkasa, tolak penangguhan kes tanpa alasan kuat

GEORGE TOWN, 22 JUL: Sistem kehakiman syariah di negara ini perlu diperkasakan dan ditambah baik secara menyeluruh, dalam menangani isu penangguhan kes yang berpanjangan sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan lebih cepat dan berkesan.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata banyak kes di Mahkamah Syariah lewat diselesaikan, berpunca daripada penangguhan berulang selain aspek pentadbiran yang tidak efisien.

Beliau berkata penangguhan berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya peguam atau pihak terlibat tidak hadir serta permohonan penangguhan tanpa alasan munasabah yang bukan sahaja membazirkan masa, tetapi turut menganiaya pihak tidak bersalah seperti dalam kes perceraian, tuntutan nafkah dan hadanah khususnya melibatkan golongan tidak berkemampuan.

“Sebab itu saya kata pada hakim-hakim ini, mereka mesti tegas dalam membuat keputusan. Tolak permohonan penangguhan yang dibuat tanpa alasan kuat.

“Kes ditangguh hanya membuang masa. Mahkamah adalah alat keadilan tapi kalau kes tangguh bertahun-tahun, kita sebenarnya menafikan keadilan itu sendiri dan terseksa ialah mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pembentangan bertajuk “Memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia” bersempena Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab dan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang Za’im Md Yudin.

Zaki mencadangkan supaya sistem penyampaian perkhidmatan di mahkamah syariah ditambah baik, bagi memastikan golongan memerlukan mendapatkan bantuan sewajarnya tanpa dibebani dengan prosedur yang rumit dan menyusahkan.

“Saya cadangkan bahagian pentadbiran mahkamah syariah bantu mereka yang tidak mampu mendapat peguam, buat satu format seperti template untuk memudahkan mereka memfailkan kes.

“Peguam pun kalau tengok orang tidak berkemampuan tolonglah secara pro bono,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619