AGENDA

Malaysia sambut baik, sokong resolusi UNGA seru gencatan senjata di Gaza

29 Okt 2023, 12:30 AM
Malaysia sambut baik, sokong resolusi UNGA seru gencatan senjata di Gaza

PUTRAJAYA, 29 OKT: Malaysia menyambut baik dan menyokong penerimaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru kepada gencatan senjata segera dan berkekalan antara tentera Israel dan Hamas di Gaza.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat menerima resolusi bertajuk "Protection of Civilians and Upholding Legal and Humanitarian Obligations" dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.

"Malaysia menyokong dan menjadi penaja bersama resolusi itu, selaras dengan pendirian negara yang tidak berbelah bagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa dalam mencari penyelesaian adil, berkekalan, komprehensif dan damai terhadap situasi di Palestin.

"Oleh itu, keputusan berkenaan membawa mesej yang jelas dan tegas oleh masyarakat antarabangsa yang menuntut tindakan imperatif terhadap krisis kemanusiaan di Gaza," menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) semalam.

Menurut Wisma Putra, perkembangan itu menunjukkan sokongan yang lebih afirmatif daripada masyarakat antarabangsa untuk membuat kemajuan substantif dan jelas dalam menangani krisis kemanusiaan.

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) harus menghormati dan bertindak selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.

Sebanyak empat resolusi UNSC mengenai Palestin gagal diluluskan sejak krisis bermula pada 7 Okt.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat pleno ESS ke-10 yang dijadual disambung semula pada 31 Okt.

Malaysia mengulangi gesaan terhadap gencatan senjata segera, akses kemanusiaan tanpa halangan, dan menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.

"Malaysia berpegang teguh kepada pendirian prinsipnya bahawa rakyat Palestin berhak menubuhkan negara merdeka yang berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," menurut kenyataan itu.

Malaysia bersama-sama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timor Leste dan Vietnam menyokong permintaan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula ESS ke-10 UNGA di New York pada 26 Okt.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619