AGENDA

Ribuan sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka

22 Okt 2023, 10:39 AM
Ribuan sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka
Ribuan sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka
Ribuan sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka
Ribuan sertai himpunan solidariti Palestin di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Dataran Merdeka di sini menjadi saksi solidariti rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama yang berhimpun bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ yang dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE itu turut disertai rakyat dari negara lain seperti Syria, Tunisia, Mesir, Sepanyol, Libya dan Pakistan, yang memenuhi padang seawal 10 pagi.

Ribuan peserta yang hadir, antaranya memakai mafela dengan motif Palestin, membawa plakad dan mengibarkan bendera negara berkenaan, melaungkan 'Palestin' dan 'Israel shame of you' bagi mengecam tindakan kejam rejim zionis.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar, Pengerusi VPM Datuk Dr Musa Mohd Nordin, Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia Stanley Yong dan Penasihat MyCARE Dr Hafidzi Md Noor.

[caption id="attachment_609435" align="aligncenter" width="782"]
Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Nurul Izzah dalam sidang media berkata perhimpunan solidariti yang diadakan hari ini penting dalam usaha membawa suara rakyat Malaysia mengenai hak kemanusiaan rakyat Palestin di mata dunia.

“Kita mesti menolak Israel, kita mesti menamatkan dana Israel kerana mereka tidak akan dapat lakukan perkara ini tanpa sokongan Amerika Syarikat, dan kita mesti mempertahankan Palestin,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta Cynthia Ng, 34, berkata usaha membuka sempadan Gaza bagi membawa masuk bantuan kemanusiaan perlu dipercepatkan berikutan keadaan rakyat Palestin kini dilihat ‘semakin tenat’.

“Tiada guna apabila setiap negara telah memberikan bantuan keperluan kepada rakyat Palestin tetapi pihak berkuasa melarang kita daripada menghantarnya (berikutan sekatan sempadan). Keadaan ini amat melampau.

“Saya juga amat berbangga melihat seluruh rakyat Malaysia bersatu walaupun berbeza agama dan bangsa. Ini cara kita tunjuk bagaimana kita bersatu bagi tujuan sama, iaitu membebaskan rakyat Palestin daripada krisis tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.

Warga Sepanyol, Izaro Iriate, 27, yang berkhidmat di ibu negara lebih lima tahun sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta berkata penyertaannya dalam perhimpunan itu bagi menyatakan sokongan penuh terhadap Palestin.

[caption id="attachment_609436" align="aligncenter" width="812"]
Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

“Barat telah menyatakan bahawa Israel berhak mempertahankan diri, tetapi saya fikir rakyat yang perlu mempertahankan tanah air mereka adalah Palestin dan mereka telah melakukannya selama 75 tahun sejak tanah mereka dirampas dan hidup menderita,” katanya.

Rakyat Libya, Moayed Nabil Althabet, 25, pula kagum melihat sokongan jitu rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

“Sungguh mengagumkan tinggal di negara yang menegakkan kebenaran dan boleh bebas dan bercakap apa saja yang mahu dikatakan, asas kepada kebebasan bersuara, saya gembira rakyat Palestin mendapat banyak suara terutama dalam kes serangan ketika ini,” katanya yang berkhidmat sebagai pemasar digital.

[caption id="attachment_609437" align="aligncenter" width="750"]
Ribuan peserta hadir dalam himpunan solidariti sebagai tanda sokongan ke atas Palestin dan mengecam tindakan kejam rejim zionis di Dataran Merdeka pada 22 Oktober 2023. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan pihaknya turut menerima makluman mengenainya mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619