AGENDA

Tentera Darat akan kenal pasti punca penuntut maut ketika jalani kursus tempur

16 Okt 2023, 1:33 PM
Tentera Darat akan kenal pasti punca penuntut maut ketika jalani kursus tempur

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Tentera Darat (TD) akan mengenal pasti punca kejadian seorang penuntut yang maut akibat strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) semalam.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memberitahu TD memandang serius insiden berkenaan dan akan melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan sedia ada.

Menurut kenyataan itu, TD juga sedang mengusahakan segala bantuan dan kelayakan bagi membantu waris Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar.

Menurut kenyataan itu 10 penuntut kursus rebah secara berperingkat di beberapa lokasi sepanjang laluan eksesais Wira Lasak di kawasan Lapang Sasar Utara, PULADA Jumaat lalu.

Eksesais Wira Lasak adalah ujian jalan laju sejauh 8 kilometer.

Kenyataan itu menyebut kesemua penuntut telah dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan awal dengan tiga daripada mereka dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail kerana tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, Emil Syahid disahkan meninggal dunia akibat strok haba semalam dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu dua penuntut yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi telah dibenarkan keluar manakala lima lagi masih berada di wad dan dilaporkan stabil.

"Dua lagi penuntut yang ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultan Ismail telah sedarkan diri dan beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi pihak hospital,” menurut kenyataan itu.

Kursus Tempur Pegawai Muda Siri Tiga Tahun 2023 berlangsung dari 18 September hingga 5 Januari 2024 di Johor.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619