AGENDA

Subsidi bersasar berkesan elak dana terbuang akibat ketidaktentuan global

14 Okt 2023, 12:30 AM
Subsidi bersasar berkesan elak dana terbuang akibat ketidaktentuan global

SHAH ALAM, 14 OKT: Pemindahan subsidi bersasar kepada rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 dilihat lebih cekap.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) Khairul Arifin Mohd Munir berkata langkah itu mampu mengelak pembuangan dana menerusi ketidaktentuan global dan sebaliknya ia terus sampai kepada rakyat.

"Pengukuhan ekosistem ekonomi manusiawi yang menyeluruh dengan bermula memperbaiki, pengupayaan dan pemberdayaan rakyat akan membantu pengukuhan sosio ekonomi rakyat seperti bantuan tunai keluarga B40 termasuk bantuan runcit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) setiap bulan bagi membantu miskin tegar.

"Amatlah wajar ahli politik dan parti politik mengembleng tenaga bersama-sama bantu rakyat mendepani cabaran ekonomi zaman sukar dan cabaran pascanormal dalam kehidupan kini," katanya dalam kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, Perdana Menteri mengumumkan perbelajaan subsidi dan bantuan dipertingkatkan daripada RM64 bilion kepada RM81 bilion sebagai langkah mengekalkan harga barangan.

Beliau berkata mulai tahun depan pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa yang mana hasil penjimatan itu akan disalurkan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

Kadar maksimum STR akan meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 manakala kadar minimum STR untuk belia meningkat daripada RM350 kepada RM500.

Pemberian SARA pula akan diperluaskan kepada 700,000 penerima dengan nilai RM100 sebulan bagi tempoh 12 bulan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619