AGENDA

Kementerian Ekonomi: Kenderaan asing termasuk Brunei tidak dibenar isi RON95

25 Nov 2024, 2:50 PM
Kementerian Ekonomi: Kenderaan asing termasuk Brunei tidak dibenar isi RON95

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan tidak berhasrat membenarkan kenderaan milik bukan warganegara untuk menikmati kemudahan subsidi bahan api RON95, kata Kementerian Ekonomi.

Tindakan itu, kata kementerian, adalah selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Pelaksanaan (penyasaran) subsidi RON95 pada 2025 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan atau pengurangan sebanyak 21.9 peratus kepada keseluruhan perbelanjaan subsidi jika hanya diberikan kepada golongan B85 dan warganegara Malaysia.

“Langkah memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak melibatkan bukan warganegara pula akan memberi manfaat penjimatan sebanyak RM0.3 bilion (2.0 peratus) kepada kerajaan,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai perancangan kementerian berkenaan untuk membenarkan kenderaan Brunei Darussalam menggunakan RON95 di Malaysia.

Kerajaan akan melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan 2025 yang meliputi 85 peratus rakyat dan ditentukan berdasarkan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619