BERITA UTAMA

Unicef iktiraf MBPJ bandar mesra kanak-kanak pertama di Malaysia

13 Okt 2023, 1:01 PM
Unicef iktiraf MBPJ bandar mesra kanak-kanak pertama di Malaysia
Unicef iktiraf MBPJ bandar mesra kanak-kanak pertama di Malaysia

PETALING JAYA, 13 OKT: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mengiktiraf Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai bandar raya mesra kanak-kanak pertama di Malaysia.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pengiktirafan itu atas komitmen MBPJ melibatkan kanak-kanak dalam setiap perancangan pembangunan di Petaling Jaya sejak 2019.

“Kita menyayangi kanak-kanak dan platform disediakan kepada mereka untuk berkongsi pandangan dalam perancangan pembangunan di Petaling Jaya. Perkara ini dipandang oleh Unicef kerana kita beri hak sama rata kepada mereka.

"Kemudian pada 2019 kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi penganugerahan ini. Bermula dari situ, banyak aktiviti dilaksanakan untuk memenuhi kriteria ditetapkan Unicef,” katanya pada majlis penganugerahan tersebut hari ini.

Pengumuman di Hotel Royale Chulan Damansara di sini dibuat wakil Unicef di Malaysia, Robert Gass. Hadir sama EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

[caption id="attachment_607692" align="alignnone" width="989"] Kanak-kanak membuat persembahan teater bertajuk ‘Suara’ sempena majlis penganugerahan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya pada 13 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata kejayaan MBPJ selari dengan aspirasi Seri Setia untuk mewujudkan zon keselamatan kanak-kanak di kawasan terbabit.

Beliau juga berharap kejayaan MBPJ menjadi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain (PBT) di Selangor untuk melibatkan kanak-kanak dalam proses pembangunan selepas ini.

“Saya menggalakkan PBT lain mendekati MBPJ dan belajar dengan mereka. Ini kerana menerima pakai pandangan kanak-kanak bagi tujuan pembangunan adalah satu komponen yang sangat baik,” katanya.

Robert pula mengakui bangga dapat bekerjasama dengan MBPJ dalam mengangkat dan memartabat hak kanak-kanak, sekali gus mencapai status tersebut.

Antara inisiatif dilaksanakan MBPJ bagi memenuhi kriteria Unicef termasuk penubuhan Ahli Majlis Kanak-Kanak Petaling Jaya dengan membawa suara golongan itu dalam aspek pengurusan bandar.

Selain itu, pelaksanaan kajian Analisis Situasi: Kesejahteraan Kanak-Kanak untuk Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) di Bandaraya Petaling Jaya dan penyediaan Pelan Tindakan Bandaraya Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619