AGENDA

24,000 karton rokok putih dengan anggaran cukai RM3.2 juta dirampas

29 Sep 2023, 12:37 PM
24,000 karton rokok putih dengan anggaran cukai RM3.2 juta dirampas

KUANTAN, 29 SEPT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 24,000 karton rokok seludup dengan anggaran cukai RM3.206 juta, yang merupakan rampasan terbesar di Pahang setakat ini.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata rokok itu dirampas pada pemeriksaan terhadap sebuah lori lapan tan di Kilometer 57.6 Lebuhraya Kuantan-Segamat, Pekan, dekat sini pada 2.20 petang 13 September lalu.

"Pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan terhadap lori yang dalam perjalanan dari pantai timur ke selatan itu menemukan 4.8 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM384,000 dengan jumlah duti dianggarkan RM3.206 juta.

"Sehubungan itu, pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 40-an dan lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Mohd Asri berkata pihaknya percaya kegiatan itu dilakukan oleh sindiket penyeludupan rokok yang aktif bergerak menggunakan Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kuantan-Segamat untuk diedarkan di selatan.

"Kita percaya modus operandi mereka adalah bergerak pada waktu puncak dan bukannya pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa daripada dikenakan tindakan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619