AGENDA

Selangor antara tujuh negeri catat inflasi melebihi paras nasional

22 Sep 2023, 7:11 AM
Selangor antara tujuh negeri catat inflasi melebihi paras nasional

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Inflasi Malaysia kekal pada dua peratus pada Ogos 2023, sama dengan kadar pertumbuhan yang dicatatkan pada Julai 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata kadar inflasi yang dicatatkan pada Ogos disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan lebih perlahan dalam restoran dan hotel, yang jatuh 4.7 peratus daripada lima peratus pada Julai 2023; makanan dan minuman bukan alkohol (4.1 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai 2023), serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang menyederhana kepada 2.4 peratus daripada 2.6 peratus pada bulan sebelumnya.

Ia berkata kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP).

Sementara itu, ia berkata kadar inflasi bagi sektor pengangkutan Ogos 2023 tidak mencatatkan sebarang peningkatan (0.0 peratus) berbanding -0.4 peratus pada Julai 2023.

Mengenai inflasi teras, DOSM berkata ia meningkat 2.5 peratus pada Ogos 2023 berbanding 2.8 peratus pada Julai 2023, namun ia masih melepasi kadar inflasi nasional keseluruhan dua peratus.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu dengan kenaikan 5.1 peratus, diikuti oleh kumpulan restoran dan hotel yang meningkat sebanyak 4.7 peratus dan pengangkutan (3.6 peratus).

“Sementara itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan dan kesihatan masing-masing meningkat 2.4 peratus,” katanya.

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, DOSM berkata inflasi dua peratus di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Zon Eropah (5.3 peratus), Filipina (5.3 peratus), Republik Korea (3.4 peratus), Indonesia (3.3 peratus) dan Vietnam (3.0 peratus). Namun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding Thailand (0.9 peratus) dan China (0.1 peratus), katanya.

Di peringkat negeri, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata tujuh negeri mencatatkan peningkatan melebihi paras inflasi negara dua peratus iaitu Sarawak (3.4 peratus), Putrajaya (2.7 peratus), Perlis (2.4 peratus), Perak (2.3 peratus), Selangor (2.3 peratus), Pahang (2.2 peratus) dan Melaka (2.1 peratus), manakala sembilan negeri lain mencatatkan pertumbuhan di bawah dua peratus.

Pada asas bulan ke bulan, DOSM berkata inflasi keseluruhan pada Ogos 2023 meningkat marginal kepada 0.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada Julai 2023.

Peningkatan ini disumbangkan oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, 0.5 peratus berbanding tidak berubah pada Julai 2023, serta kesihatan, yang meningkat 0.5 peratus daripada 0.2 peratus pada Julai 2023.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619