AGENDA

Pelabuhan di Pulau Carey wujudkan lebih 100,000 peluang kerja kepada rakyat

19 Sep 2023, 7:37 AM
Pelabuhan di Pulau Carey wujudkan lebih 100,000 peluang kerja kepada rakyat

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pembangunan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey bakal memberi nilai tambah kasar (GVA) secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara sekitar RM40.2 bilion menjelang 2060.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pembangunan itu juga dijangka memberi pulangan melalui cukai langsung dan tidak langsung sebanyak RM5.98 bilion pada 2060.

“Apabila pelabuhan ini siap sepenuhnya kelak ia dijangka mewujudkan kira-kira 115,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Selain itu, masyarakat setempat termasuk masyarakat Orang Asli di Pulau Carey dijangka dapat menikmati sistem rangkaian perhubungan, infrastruktur dan utiliti yang lebih baik melalui perancangan pembangunan Pulau Carey,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Siew Fook berkata pembangunan terminal ketiga itu dirangkumkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pulau Carey yang diterajui Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia Selangor).

“Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) terlibat secara aktif dalam semua perbincangan yang diadakan bagi memurnikan perancangan pembangunan Pulau Carey secara keseluruhan.

“Kementerian Pengangkutan dimaklumkan pelan induk pembangunan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor atau Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau.

Kerajaan Negeri melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 telah mengenal pasti projek Zon Ekonomi Khas di kawasan berdekatan bagi menyokong pembangunan pelabuhan ketiga Pulau Carey untuk melengkapi ekosistem bagi semua kegiatan ekonomi berkaitan logistik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619