AGENDA

Pelabuhan ditambah baik jadikan Malaysia pangkalan kapal persiaran

29 Jul 2024, 2:00 PM
Pelabuhan ditambah baik jadikan Malaysia pangkalan kapal persiaran

PUTRAJAYA, 29 JULAI: Pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur di pelabuhan sedia ada giat dijalankan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai ‘homeport’ atau pangkalan kapal persiaran.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk penambahan kapasiti di Port Klang Cruise Terminal agar dapat menampung lebih banyak kapal persiaran dan mengindahkan kawasan sekeliling di Swettenham Pier Cruise Terminal Pulau Pinang.

Loke berkata pelabuhan sedia seperti di Langkawi, Melaka, Kuantan, Kota Kinabalu dan Kuching meskipun belum mempunyai infrastruktur kapal persiaran, mampu menampung kapal persiaran sekiranya penambahbaikan dilakukan.

"Sektor kapal persiaran Malaysia menunjukkan pertumbuhan kukuh selepas Covid-19. Malaysia menerima 1,055 kapal persiaran pada 2023 yang membawa 1.5 juta pelancong. Ini menandakan peningkatan 85 peratus dalam ketibaan kapal persiaran berbanding 2019," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pelayaran Persiaran Malaysia (MCC), di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Loke berkata usaha menarik lebih banyak kapal persiaran untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan memberikan limpahan ekonomi memandangkan lebih ramai pengembara akan melalui lapangan terbang, menginap dan berbelanja di sini.

Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri yang berpotensi menerima kapal persiaran agar mempromosikan kawasan masing-masing.

Loke berkata untuk mempercepatkan pertumbuhan industri kapal persiaran di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Beliau berkata antara lain, peranan jawatankuasa itu adalah memacu dan memudah cara pergerakan penumpang dan singgahan kapal persiaran agar lebih cepat dan efektif.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619