AGENDA

Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur bermula esok, lebih 40,000 dijangka hadir

14 Sep 2023, 12:30 PM
Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur bermula esok, lebih 40,000 dijangka hadir
Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur bermula esok, lebih 40,000 dijangka hadir
Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur bermula esok, lebih 40,000 dijangka hadir

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Lebih 40,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Merdeka, di sini, bagi memeriahkan Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur 2023 (FPM@KL 2023) yang berlangsung mulai esok hingga 17 September ini.

Pengarah Projek FPM@KL 2023 Rosdianah Roman berkata FPM@KL 2023 merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.

"FPM@KL 2023 mengangkat permainan tradisional Malaysia sebagai teras programnya dan seramai 1,520 peserta terdiri daripada badan beruniform serta sektor korporat akan terlibat.

"Kita juga menyasarkan penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah selain penglibatan daripada pelancong asing," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Rosdianah yang juga Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Kuala Lumpur (WPKL) berkata terdapat lebih 25 aktiviti menarik disediakan merangkumi himpunan permainan tradisional, meliputi bola sepak kain sarong, sepak raga ratus, kelereng, batu seremban, dam aji, galah panjang, kabaddi, terompah gergasi dan tuju tinju.

"Kita juga menganjurkan pertandingan Tarik Tali Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur yang turut menerima penyertaan dari lapan negara luar iaitu Brunei, Taiwan, India, Afrika Selatan, Thailand, Nepal, Sri Lanka dan Mongolia yang diselaraskan Persatuan Tarik Tali WPKL selain pertandingan dart dan lastik yang dilaksanakan Jabatan Belia dan Sukan WPKL.

"Sebagai kelainan, tahun ini kita membawakan demonstrasi permainan chingay atau aksi akrobatik menggunakan bendera yang cukup popular di Pulau Pinang dan demontrasi permainan tradisional dari Sabah dan Sarawak iaitu rampanau, magunatip, mintubow (gasing Sarawak) dan menyumpit," katanya.

Pada masa sama, katanya, seramai 10,000 peserta daripada acara Keretapi Sarong 2023 turut menjadikan Dataran Merdeka sebagai lokasi terakhir berkumpul sekali gus memeriahkan lagi penganjuran FPM @ KL 2023 serta sambutan Hari Malaysia.

FPM@KL 2023 turut bekerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam menggalakkan usaha kitar semula agar bebas sampah sepanjang tiga hari festival itu berlangsung.

"Kita berharap setiap aktiviti yang diadakan ini dapat membina jambatan perpaduan, semangat setia kawan, sikap hormat menghormati melalui permainan tradisonal selain menyediakan ruang dan peluang untuk menjana pendapatan kepada usahawan seni budaya sekali gus menggalakkan ekonomi setempat," katanya.

FPM@KL 2023 dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi JKKNWPKL dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619