AGENDA

PBB puji peranan ASEAN satukan dunia yang kini berpecah belah

7 Sep 2023, 10:53 AM
PBB puji peranan ASEAN satukan dunia yang kini berpecah belah

JAKARTA, 7 SEPT: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memuji peranan ASEAN sebagai fakor penting dalam menyatukan dunia yang kini berpecah belah.

"Saya memuji ASEAN dan negara anggota ASEAN atas peranan penting mereka dalam membina jambatan persefahaman.

“ASEAN telah menjadi faktor penting untuk perpaduan dalam dunia yang berpecah belah," kata Setiausaha Agung Guterres pada sidang media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, pada Khamis, lapor Agensi Berita ANTARA.

Guterres bimbang dengan dunia yang dianggapnya semakin berdepan ancaman disebabkan oleh krisis, perubahan iklim, peperangan, konflik, kemiskinan dan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

“Justeru, kita perlukan kerjasama dari semua sudut,” katanya.

Beliau berkata ASEAN perlu berperanan sebagai sebuah institusi pelbagai hala yang boleh merapatkan perbezaan dan membina persefahaman.

"Dalam dunia yang kian mencabar, kita mahukan lebih berbanding sebelum ini dan memerlukan institusi pelbagai hala yang kukuh - berdasarkan ekuiti, solidariti dan kesejagatan," kata Guterres.

Setiausaha Agung PBB itu turut memuji moto kebangsaan Indonesia iaitu "Bhinneka Tunggal Ika" yang dianggapnya semakin relevan dalam situasi dunia semasa.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 5,000 pasukan pengaman dari Indonesia dan negara anggota ASEAN lain yang berkhidmat di seluruh dunia.

Selain itu, Guterres turut memuji peranan konstruktif ASEAN dalam bidang keamanan, khususnya dalam usaha meredakan ketegangan dari Laut China Selatan hingga ke Semenanjung Korea dengan mengutamakan dialog dan menggalakkan undang-undang antarabangsa dihormati.

- BERNAMA-ANTARA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619