AGENDA

Polis buka 240 kertas siasatan, 15 tangkapan sepanjang PRN

13 Ogos 2023, 3:13 PM
Polis buka 240 kertas siasatan, 15 tangkapan sepanjang PRN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 240 kertas siasatan dengan 15 tangkapan berkaitan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dari 27 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu melibatkan 1,951 laporan yang diterima pihaknya.

Menurutnya, 78 kertas siasatan dibuka di Selangor diikuti masing-masing 42 di Pulau Pinang dan Kedah, Terengganu (34), Negeri Sembilan (25) dan Kelantan (19).

"Dalam tempoh itu 782 laporan diterima di Selangor, Terengganu (390), Kedah (293), Kelantan (265), Negeri Sembilan (135) dan Pulau Pinang (86).

“Seramai 15 individu telah ditahan iaitu sembilan di Kedah dan masing-masing dua di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, 4,506 permit diluluskan dalam tempoh berkempen dengan Kedah mencatatkan angka tertinggi iaitu 976 permit diikuti Selangor (933), Kelantan (882), Terengganu (768), Negeri Sembilan (495) dan Pulau Pinang (452).

Mengulas mengenai kes yang dilaporkan pada hari pengundian, Razarudin berkata sebanyak 111 kertas siasatan dibuka daripada 181 laporan yang diterima melibatkan pelbagai kesalahan.

Tambahnya kesalahan membabitkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggunakan kad pengenalan orang lain merekodkan laporan tertinggi iaitu 94 kes.

“Selangor paling tinggi melibatkan salah guna kad pengenalan iaitu 48 kes diikuti Pulau Pinang (20), masing-masing sembilan di Kedah dan Terengganu, Negeri Sembilan (enam) dan Kelantan (dua),” katanya.

Antara kesalahan lain yang dilaporkan adalah khianat bendera, mempamer logo politik, menghalang penjawat awam dan perhimpunan menyalahi undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619