AGENDA

PM: Menteri, pemimpin ambil tanah, hasil balak dilucut jawatan

28 Jul 2023, 1:40 PM
PM: Menteri, pemimpin ambil tanah, hasil balak dilucut jawatan

DUNGUN, 28 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak mengizinkan mana-mana menteri Kabinet atau pemimpin di bawah kerajaan pimpinan beliau mengambil tanah atau hasil aktiviti pembalakan.

Beliau berkata mana-mana menteri dan pemimpin yang didapati melanggar larangan itu akan dilucutkan jawatan mereka.

“Beza terbesar Kerajaan Perpaduan dengan kerajaan terdahulu ialah kerajaan ini tidak mengizinkan menteri atau pemimpin kerajaan ambil seinci pun tanah kerajaan mahupun seekar balak.

“Jika perkara itu berlaku, mereka akan tersingkir daripada jawatan mereka,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Anwar berkata ada pihak yang sering memfitnah kerajaan dan memainkan sentimen keagamaan tidak berani untuk melarang pemimpin mereka mengaut keuntungan melalui aktiviti membalak, kontrak serta saham.

Beliau juga berkata kerajaan tidak pernah mengkhianati rakyat dengan mengurangkan peruntukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Perdana Menteri berkata dalam keadaan ekonomi sekarang yang bertambah baik, harapan untuk negara membangun semakin cerah malah kerajaan juga menambah beberapa peruntukan infrastruktur termasuk di negeri pembangkang.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa menteri Kabinet.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619