AGENDA

Perlu ada simpanan KWSP RM240,000, tampung hidup 20 tahun lepas bersara

24 Jul 2023, 4:56 AM
Perlu ada simpanan KWSP RM240,000, tampung hidup 20 tahun lepas bersara

KOTA BHARU, 24 JULAI: Rakyat di negara ini perlu mempunyai simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM240,000, untuk bersara pada usia 55 tahun secara bermaruah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata anggaran simpanan caruman berkenaan, membolehkan seseorang untuk menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara, dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.

“Sekiranya seseorang berpencen pada umur 55 tahun, ditambah 20 tahun kehidupan selepas berpencen menjadikan keseluruhannya ialah 75 tahun, iaitu merupakan jangka hayat rakyat Malaysia,” katanya selepas lawatan ke Ibu Pejabat KWSP Kota Bharu.

Ahmad berkata antara cadangan yang diketengahkan kepada rakyat untuk menambahkan caruman simpanan mereka ialah dengan melakukan caruman secara sukarela, menerusi caruman i-saraan KWSP.

Beliau berkata setakat Jun, lebih 500,000 pencarum di seluruh negara telah melakukan caruman di bawah caruman i-saraan KWSP, selain pada masa yang sama kerajaan berhasrat penyertaan berkenaan dapat dimaksimumkan.

“Kita ingin memastikan penyertaan maksimum rakyat menerusi caruman ini, terutamanya mereka yang berada dalam sektor tidak formal iaitu peniaga, nelayan, pesawah, petani, penoreh getah dan sebagainya. Malah, mereka yang bekerja kerajaan juga disyorkan untuk mencarum, walaupun mereka mempunyai pencen.

“Melalui caruman ini juga pencarum layak menerima insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan sebanyak RM300 maksima secara tahunan, sekiranya mereka mencarum sekurang-kurangnya RM2,000 setahun, selain dividen sehingga mencecah lima peratus,” katanya.

Ahmad Maslan berkata sebanyak 26 Kaunter Bergerak KWSP turut di lancarkan pada 4 Julai lalu di Wilayah Timur, terutama di kawasan pedalaman untuk menghebahkan mengenai caruman berkenaan selain perkara berkaitan.

“Menerusi kaunter bergerak itu, pencarum mahupun orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat persaraan serta pengiraan simpanan persaraan, bagi membantu menilai kecukupan simpanan apabila bersara nanti sekali gus untuk mendapatkan persaraan yang lebih baik,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619