AGENDA

MAHB rekod lebih 10 juta penumpang pada Jun 2023

21 Jul 2023, 2:33 PM
MAHB rekod lebih 10 juta penumpang pada Jun 2023

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan lebih 10 juta penumpang pada Jun 2023, tertinggi sejak operasi dihentikan di peringkat global pada Mac 2020.

Rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia dan Turkiye terus menunjukkan pertumbuhan penumpang yang konsisten dengan mencatatkan jumlah pergerakan penumpang antarabangsa tertinggi baharu sebanyak 4.9 juta pada Jun 2023, naik 7.1 peratus daripada bulan sebelumnya.

Jumlah pergerakan penumpang domestik kekal melebihi paras 5.0 juta untuk bulan kedua berturut-turut pada Jun 2023 sebanyak 5.3 juta.

“Secara keseluruhannya, pada separuh pertama 2023, kumpulan mencatatkan 56.1 juta pergerakan penumpang, mencapai 82 peratus daripada paras sebelum pandemik pada 2019 dalam tempoh yang sama,” menurut MAHB dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata rangkaian lapangan terbang itu berkembang sejajar dengan pemulihan trafik global dan serantau secara berperingkat.

Katanya jumlah pergerakan penumpang pada separuh pertama 2023 untuk lapangan terbang di Malaysia mencatatkan 38.9 juta penumpang berikutan trafik antarabangsa mencatatkan kemajuan disokong oleh perkembangan positif manakala sektor domestik terus menerajui momentum pemulihan trafik.

Iskandar berkata penyambungan semula operasi 45 syarikat penerbangan dan penubuhan dua syarikat penerbangan baharu, iaitu T’way Air dan TransNusa, meningkatkan jumlah pemulihan kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan kepada 75 peratus sebanyak 50.5 juta pada separuh pertama 2023 berbanding separuh pertama 2019 sebanyak 67.3 juta.

“Selain itu, jumlah purata faktor muatan pada separuh pertama 2023 melebihi separuh pertama 2019 sebanyak 1.2 mata peratusan mencatatkan 76.1 peratus, dengan purata faktor muatan yang lebih tinggi dicatatkan setiap bulan pada separuh pertama 2023 kecuali pada bulan Ramadan, memberikan keyakinan untuk pertumbuhan seterusnya dalam kapasiti tempat duduk ke arah pemulihan trafik,” katanya.

Menurut MAHB, pada Jun 2023, operasi di Malaysia mencatatkan hampir tujuh juta pergerakan penumpang, meningkat dua peratus daripada bulan sebelumnya.

Pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia buat kali pertama mencatatkan lebih tiga juta penumpang sebanyak 3.2 juta, yang juga naik tujuh peratus berbanding Mei 2023.

Momentum trafik untuk pergerakan penumpang domestik terus mencatatkan melebihi paras tiga juta sejak Disember 2022.

Prestasi Malaysia terus menyumbang kepada hampir 70 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang global MAHB sebanyak 10.2 juta penumpang pada bulan lepas.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul di Turkiye (SAW) mencatatkan pencapaian penting dengan merekodkan jumlah pergerakan penumpang tertinggi sejak Mac 2020.

Ia meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 3.3 juta penumpang pada Jun 2023 dan telah pulih sepenuhnya kepada paras sebelum pandemik pada 2019 dan 1.5 peratus pada separuh pertama 2023.

Jun 2023 turut menyaksikan SAW mencatatkan satu lagi paras tertinggi baharu untuk pergerakan penumpang antarabangsa sebanyak 7.2 peratus kepada 1.7 juta penumpang manakala pergerakan penumpang domestik mencatatkan 3.7 peratus kepada 1.6 juta penumpang daripada bulan sebelumnya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619