AGENDA

PRN: Pastikan tiada tempat untuk pengkhianat di DUN Hulu Kelang

20 Jul 2023, 3:09 AM
PRN: Pastikan tiada tempat untuk pengkhianat di DUN Hulu Kelang

HULU KELANG, 20 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor akan meletakkan calon terbaik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang bagi memastikan tiada ruang buat pengkhianat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor berkata jentera parti juga perlu bekerja keras untuk menyakinkan pengundi supaya tidak terpedaya dengan pihak lawan dalam pilihan raya negeri.

"Kita dengar (khabar) angin ada panglima atas bukit mahu datang sini. Dia lari turun bukit ingin datang ke hulu. Mahu lari sebab apa? Sebab bukit sudah bergoyang dan dia tidak selamat.

"Kalau berani sangat, pertahankan tempat sendiri. Kenapa lari? Tidak mengapa, kita lawan dengan calon hebat dan terbaik. Kita akan pastikan tiada tempat untuk pengkhianat," kata Ir Izham Hashim.

DUN Hulu Kelang antara tumpuan kerusi panas berikutan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) digembar-gemburkan akan bertanding di kawasan tersebut.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

Berucap pada pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Perpaduan DUN Hulu Kelang malam tadi, Ir Izham turut menasihatkan pengundi supaya berwaspada dengan PAS yang sentiasa memainkan sentimen agama.

Menyifatkannya sebagai 'mantera' dan 'jampi serapah' parti itu sejak dahulu, beliau mendakwa PAS sering memutar belit fakta, terutama membabitkan isu air dan agihan dana kepada institusi agama.

"Dia (PAS) sering meraban sebab mereka banyak bergantung kepada auta bukan fakta, jadi pembohongan itu dasar mereka. Mereka mahu timbulkan persepsi merekalah juara Islam dan Melayu.

"Ini sebenarnya budaya pecah-belah masyarakat yang sangat bahaya. Kita nampak macam biasa tetapi kesannya besar. Jadi, jangan kita benarkan mereka bawa perpecahan ini di Selangor," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619