AGENDA

Keluarga rayu pulangkan baki RM60,000 berterabur atas jalan, saguhati menanti

16 Jul 2023, 4:13 AM
Keluarga rayu pulangkan baki RM60,000 berterabur atas jalan, saguhati menanti

JERTIH, 16 JULAI: Keluarga mangsa yang keciciran wang akibat terjatuh dari kereta di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, Rabu lalu, menawarkan saguhati kepada sesiapa yang dapat memulangkan kembali wang berkenaan.

Wan Mastura Wan Leh, 26, kakak kepada Wan Ibrahim, 24, merayu sesiapa yang terambil duit hasil titik peluh adiknya diminta memulangkan semula wang itu.

"Jika diikutkan duit itu akan digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan kedai gunting rambutnya, namun disebabkan kejadian ini, semangatnya sedikit goyah.

"Kami berharap lebih ramai tampil memulangkan kembali wang yang mereka kutip tempoh hari dan sedikit saguhati akan diberikan," katanya ketika dihubungi, lapor Berita Harian.

Dalam kejadian Rabu lalu, Wan Ibrahim Wan Leh, 24, kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 diletakkan atas but keretanya, terjatuh bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada 11 pagi.

Kejadian berlaku apabila adiknya terlupa beg kain berisi wang tunai yang diletakkan di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang itu.

Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut.

"Kami berharap mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada kami. Sesiapa pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi saya di talian 013-5395538," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619