AGENDA

Dadah bernilai RM7.42 juta dirampas, dua sindiket tumpas

10 Jul 2023, 10:22 AM
Dadah bernilai RM7.42 juta dirampas, dua sindiket tumpas

SHAH ALAM, 10 JULAI: Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dengan dua sindiket pengedaran dadah susulan rampasan dadah seberat 222 kilogram (kg) bernilai RM7.42 juta, hasil dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata semua suspek berumur antara 38 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif menjadi pengedar serta transporter atau pengangkut membawa dadah sejak awal tahun ini dengan bahan terlarang terbabit diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan paket pembungkusan.

“Serbuan polis yang pertama pada 5 Julai di sebuah rumah di Sepang telah menahan lelaki berumur 44 tahun serta merampas 47.8 kg dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi operasi kedua di Shah Alam pada 6 Julai, beliau berkata sebuah inap desa diserbu pihak polis bagi menahan dua lelaki berumur 38 dan 47 tahun dan merampas 174.2 kg dadah jenis methamphetamine dan pil yaba.

Beliau berkata hasil kedua-dua operasi terbabit, pihak polis turut menyita dua kenderaan jenis Kia dan Toyota Hilux, dua bentuk cincin serta jam tangan dianggarkan bernilai RM87,705.

"Polis kini sedang mengesan dalang sebenar kedua-dua sindiket ini selain masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap," katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619