AGENDA

Tujuh kilang dan stor musnah dalam kebakaran di Cheras awal pagi tadi

30 Jun 2023, 1:28 AM
Tujuh kilang dan stor musnah dalam kebakaran di Cheras awal pagi tadi

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Tujuh kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua lagi rosak teruk dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu tidak melibatkan mangsa.

“Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi dan pasukan pertama sampai ke lokasi kejadian 23 minit kemudian.

“Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya kebakaran bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.

“Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

Wan Md Razali berkata lapan premis yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang membuat perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.

Katanya api dapat dikawal pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619