BERITA UTAMA

Dana RM50,000 baik pulih surau khabar gembira buat warga SBPI Gombak

21 Jun 2023, 11:38 PM
Dana RM50,000 baik pulih surau khabar gembira buat warga SBPI Gombak

SHAH ALAM, 22 JUN: Warga Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak menerima khabar gembira apabila Kerajaan Selangor menyalur dana RM50,000 bagi menambah baik surau yang sudah uzur.

Terharu mendengar pengumuman Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, pengetuanya berkata bantuan itu amat signifikan berikutan surau terbabit bukan sahaja digunakan pelajar tetapi komuniti sekitar bagi tujuan solat Jumaat.

Malah menurut Ahmad Shafrin Abdul Aziz, pelajar memerlukan pusat ibadat yang selesa dan kondusif, apatah lagi aktiviti keagamaan seperti ceramah, tazkirah dan bacaan al-Quran rancak dijalankan di sekolah berkenaan.

“Surau kita sangat aktif, setiap masa pelajar solat lima waktu berjemaah dan orang luar juga datang bagi solat Jumaat. Jadi kita perlu ganti permaidani misalnya supaya mereka selesa.

“Sebab itu bantuan daripada Kerajaan Negeri diperlukan, sekurang-kurangnya kita boleh tukar apa yang patut,” katanya ditemui pada majlis apresiasi guru SBPI Gombak di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar.

Terdahulu, majlis itu meraikan 56 guru atas kejayaan ramai pelajarnya yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas selain disenarai antara sekolah terbaik peperiksaan awam.

Dalam pada itu, Ahmad Shafrin turut berharap Kerajaan Selangor mempertimbang permohonan dana bagi menaik taraf padang sekolah terbabit berikutan kemudahan tersebut turut digunakan sekolah lain sekitar Gombak.

“Kalau dapat satu padang yang baik bukan sahaja boleh manfaatkan pelajar sekolah kita sendiri tetapi masyarakat sekitar. Malah 30 Julai nanti sudah ada sekolah yang mahu menyewa padang SBPI Gombak untuk penganjuran sukan selain kejohanan bola sepak peringkat daerah.

“Jadi kita harap keprihatinan beliau (Amirudin) bagi melengkapkan kemudahan sekolah ini selaras hasrat mengembangkan bakat pelajar dalam bidang ko-kurikulum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berbesar hati dengan bantuan RM1,000 seperti diumum pemimpin negeri baru-baru ini bagi membantu pengurusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 939 sekolah seluruh Selangor.

“Banyak benda kita boleh buat dengan bantuan tersebut terutama bagi membangunkan infrastruktur sekolah selain memenuhi keperluan murid.

“Contohnya ada pelajar yang mewakili sekolah ke luar negara dan memerlukan wang dengan cepat. Jadi kita boleh guna bantuan berkenaan,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619