AGENDA

Agong, Permaisuri ucap tahniah, Nur Hanisah ungguli subjek urus kos dan kewangan peringkat dunia

14 Mei 2023, 5:12 AM
Agong, Permaisuri ucap tahniah, Nur Hanisah ungguli subjek urus kos dan kewangan peringkat dunia

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Nur Hanisah Aripin di atas pencapaian skor sempurna dalam subjek MA2 Managing Cost and Finance, baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara dalam catatan menerusi Facebook rasmi memaklumkan Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Pahang itu mendapat tempat pertama di Malaysia dan di peringkat dunia bagi mata pelajaran tersebut, sekali gus mengharumkan nama Pahang dan Malaysia di persada dunia.

“Pencapaian bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang ambilan 2017-2021 itu membuktikan sekali lagi bahawa anak negeri Pahang dan rakyat Malaysia, dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.

“Semoga kecemerlangan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar anak Pahang dan Malaysia yang lain untuk bekerja keras dan memberikan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” menurut catatan itu.

Nur Hanisah memperoleh pencapaian skor sempurna (100 peratus) bagi mata pelajaran MA2 Managing Costs and Finance dalam bidang pengajian Foundation in Accountancy Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di INTEC Education College, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Nur Hanisah dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan.

Nur Hanisah merupakan pelajar cemerlang dengan pencapaian 11A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi 2021 dan telah berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran pada 2020.

Selain itu, Nur Hanisah juga telah lulus ujian prasyahadah lima juzuk al-Quran pada 2021. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619