AGENDA

Strok haba bukan punca murid perempuan di Klang meninggal dunia

12 Mei 2023, 7:06 AM
Strok haba bukan punca murid perempuan di Klang meninggal dunia

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menafikan kematian seorang murid perempuan di Klang adalah berpunca daripada strok haba seperti yang ditularkan di media sosial.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan berkata berdasarkan rekod pemeriksaan kanak-kanak berusia 10 tahun itu, beliau hadir ke klinik dalam keadaan kritikal dan didiagnos sebagai gastroenteritis akut dengan komplikasi.

“Rawatan sewajarnya telah diberikan sebelum beliau dirujuk ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Namun, beliau telah meninggal dunia pada 9 Mei dan tidak mengalami strok haba seperti yang ditularkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook JKNS.

Terdahulu, Dr Sha’ari berkata pihaknya telah menerima makluman berhubung mesej tular mengenai kematian seorang murid perempuan dipercayai strok haba yang melibatkan seorang murid sekolah di Selangor pada 10 Mei lalu.

“Kejadian itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang datang mendapatkan rawatan di salah sebuah klinik kesihatan di Klang.

“Beliau mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan malam pada 8 Mei. Keesokannya, mangsa telah dibawa ke klinik dan hasil pemeriksaan mendapati beliau hadir dalam keadaan kritikal dan didiagnos kes gastroenteritis akut dengan komplikasi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang ringan gejala cirit-birit dan muntah yang dialami kerana jika tidak terkawal, ia berpotensi untuk menyebabkan situasi kekeringan khususnya dalam musim cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619