AGENDA

Status kawasan tempatan jangkitan diteruskan meski Covid-19 bukan kecemasan kesihatan awam

8 Mei 2023, 7:35 AM
Status kawasan tempatan jangkitan diteruskan meski Covid-19 bukan kecemasan kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan status kawasan tempatan jangkitan akan diteruskan meskipun Covid-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

Menterinya Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu perlu bagi memenuhi keperluan isolasi atau pengasingan kes Covid-19 di mana-mana tempat selain hospital dan keperluan majikan menanggung kos rawatan serta pengujian Covid-19 yang diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk dijalankan kepada pekerjanya.

"Dijangkakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 di dalam Malaysia akan dilaksanakan pada pertengahan Jun 2023 bagi menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan untuk menentukan hala tuju seterusnya," katanya.

Sementara itu, Zaliha berkata keputusan PHEIC itu susulan hasil mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang berlangsung di Geneva pada pada 4 Mei lalu.

Katanya, keputusan ini telah mengambil kira trend global yang menunjukkan penurunan bagi kes kematian Covid-19, kemasukan kes ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tahap imuniti populasi dunia terhadap virus SARS-CoV-2 yang tinggi.

Dr Zaliha berkata antara penyumbang keputusan tersebut melibatkan kebolehcapaian kepada diagnosis, rawatan, dan vaksin serta pemantauan varian virus SARS-CoV-2 juga menunjukkan tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 yang teruk.

"Kementerian Kesihatan akan meneruskan langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berdasarkan protokol sedia ada serta membuat semakan semula dan mengemas kini garis panduan Covid-19 dengan merujuk kepada kenyataan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik Covid-19," katanya.

Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619