AGENDA

Cuaca panas: Bomba Terengganu pantau hutan berisiko terbakar

24 Apr 2023, 8:21 AM
Cuaca panas: Bomba Terengganu pantau hutan berisiko terbakar

KUALA TERENGGANU, 24 APRIL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan menjalankan pemantauan di kawasan hutan yang berisiko kebakaran berikutan cuaca panas yang melanda negara kini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Mazimi Mohamad berkata ia ekoran berlakunya kebakaran hutan seluas lima hektar di kawasan Merang dekat Setiu yang telah berjaya dipadam awal pagi tadi.

“Walaupun kita telah berjaya memadamkan api di kawasan hutan tersebut tetapi kita akan tetap pantau kerana cuaca panas sangat sekarang. Begitu juga dengan kawasan-kawasan hutan lain yang sering berlaku kebakaran apabila musim panas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Mazimi berkata operasi memadam kebakaran hutan yang bermula pada 7 malam semalam itu berakhir kira-kira 2.30 pagi tadi, melibatkan seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Kuala Nerus, Jalan Kota, Wakaf Tapai dan Besut.

Katanya setakat ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti namun pihaknya tidak menolak cuaca terlalu panas merupakan faktor kejadian berlaku, selain berpunca daripada perbuatan individu.

“Tetapi kawasan hutan di sekitar Merang itu boleh dikatakan setiap tahun akan berlaku kebakaran sekiranya cuaca panas sebab ia kawasan lalang yang mudah terbakar,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantaran di Facebook semalam menyatakan tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah diramal mengalami cuaca panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) sekurang-kurangnya untuk tiga hari berturut-turut dengan suhu maksimum boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celcius.

Menurut jabatan itu di Semenanjung, kawasan yang terlibat termasuk Kuala Terengganu; Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah di Kelantan; Rompin di Pahang dan Jempol di Negeri Sembilan manakala di Sabah kawasan terlibat adalah di Beaufort dan Nabawan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619