AGENDA

Tiga penunggang motosikal maut, seorang parah langgar belakang lori

12 Apr 2023, 1:07 AM
Tiga penunggang motosikal maut, seorang parah langgar belakang lori

ALOR SETAR, 12 APRIL: Tiga maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan yang melibatkan empat motosikal dengan sebuah lori berhampiran stesen minyak di Tanjung Musang, dekat Pokok Sena, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kesemua mangsa lelaki yang maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan itu berusia antara 19 hingga 23 tahun manakala mangsa yang cedera parah berusia 14 tahun.

“Polis menerima maklumat berhubung kemalangan yang melibatkan empat motosikal dengan sebuah lori kira-kira pukul 10.50 malam yang berlaku berhampiran sebuah stesen minyak. Siasatan awal mendapati kesemua kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari arah Alor Setar menghala ke Jabi, Pokok Sena.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun yang baru selesai mengisi minyak sedang bergerak di lorong kiri jalan, secara tiba-tiba telah dilanggar di bahagian belakang oleh empat motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, tiga lelaki yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i, Honda RS-X dan Yamaha Y15ZR maut ditempat kejadian manakala mangsa lelaki yang berusia 14 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X cedera di muka dan tangan.

“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera parah menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619