PBT

MPS: Peniaga bazar boleh dipotong deposit jika gagal patuhi syarat

31 Mac 2023, 12:21 AM
MPS: Peniaga bazar boleh dipotong deposit jika gagal patuhi syarat

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Peniaga yang gagal mematuhi syarat pelesenan bazar Ramadan ditetapkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) boleh dikenakan tindakan pemotongan deposit atau cagaran.

Jabatan komunikasi korporat MPS berkata sehubungan itu pemeriksaan berkala bersama pelbagai agensi dijalankan bagi memantau kadar kebersihan dan pematuhan syarat membabitkan golongan peniaga berkaitan.

"Pemeriksaan dijalankan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan polis.

"Antara kesalahan kerap dilakukan seperti meletak makanan di lantai, membuang sisa makanan ke dalam longkang, meninggalkan peralatan dan barang niaga selepas tamat jualan serta tidak memakai pelitup muka," menurutnya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, katanya, penguatkuasaan daripada agensi lain turut dibuat seperti KKM berhubung persampelan makanan dan sitaan mercun oleh polis.

"Kita juga menjalankan beberapa inisiatif bagi kempen kebersihan dengan memasang kain rentang mengenai kempen pembaziran makanan dan berbelanja dengan berhemah selain kempen makanan selamat oleh KKM melalui Facebook," katanya.

Tahun ini, sebanyak 32 lokasi bazar Ramadan melibatkan lebih 1,871 petak bazar dikendalikan MPS.

Terdahulu, 15 peniaga di Selayang Utama diberi notis dalam satu operasi pada 27 Mac lalu. Notis dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mendapatkan suntikan typhoid dan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619