AGENDA

Ahli Dewan Rakyat wajib jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali

29 Mac 2023, 8:08 AM
Ahli Dewan Rakyat wajib jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Semua ahli Dewan Rakyat sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bermula pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jawatankuasa telah mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan diadakan sekali setahun, ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan di Bangunan Parlimen. Saya sendiri akan tampil dengan rakan-rakan jemaah menteri untuk menawarkan diri bagi pemeriksaan kesihatan kami dilakukan.

“Hal ini setelah mengambil kira fakta bahawa seramai sembilan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sedang berkhidmat, meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020, disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti komplikasi buah pinggang dan serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Ahmad Zahid berkata ahli Dewan Negara juga mungkin dipertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Kita bukan mendahului hukum Allah SWT dalam perkara ini tapi sebagaimana saya maklumkan sebelum itu, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan turut dicadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dalam mesyuarat berkenaan.

Timbalan perdana menteri berkata antara perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu meneruskan Kempen Promosi Kesihatan Nasional untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam pembudayaan hidup sihat rakyat.

Katanya ini memandangkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 rakyat mempunyai kolesterol tinggi dalam badan dan satu daripada dua rakyat mempunyai berat badan yang berlebihan.

“Peningkatan penyakit akibat pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan juga katanya memutuskan pemberian insentif dan pengiktirafan kepada ejen kesihatan komuniti yang dikenali sebagai MyCHAMPION bertujuan meningkatkan motivasi dan komitmen kepada komuniti setempat.

ANMS diluluskan pada 2020 dengan memfokuskan kepada empat Teras iaitu Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat, Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan, Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri dan Memantapkan Kebersihan Persekitaran.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619