AGENDA

TPM: Aset bantuan bencana diselaras ke lokasi terjejas bah di Sarawak

30 Jan 2025, 8:26 AM
TPM: Aset bantuan bencana diselaras ke lokasi terjejas bah di Sarawak

BAGAN DATUK, 30 JAN: Semua aset bantuan bencana peringkat Persekutuan dan negeri dikoordinasikan ke 13 lokasi terjejas banjir di Sarawak yang setakat tengah hari tadi melibatkan lebih 6,700 mangsa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, lebih 50 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga akan mengadakan koordinasi dengan pihak terlibat termasuk Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti lebih banyak dewan sekolah dan dewan orang ramai di kawasan tinggi yang sesuai dijadikan PPS.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata pihaknya akan meneliti keperluan pembinaan jambatan Bailey di kawasan perhubungan yang terjejas.

"Kita telah berbincang dengan Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia untuk persediaan (pembinaan jambatan) tersebut," katanya pada sidang media selepas lawatan ke tapak pembinaan projek Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata sistem amaran awal juga telah diaktifkan bagi memberikan amaran sekurang-kurangnya tiga hari sebelum kejadian air pasang besar bagi memudahkan proses pemindahan dan penduduk menyelamatkan dokumen serta barang-barang penting.

Mengenai banjir itu, beliau berkata difahamkan sebanyak 13 stesen meteorologi merekodkan jumlah purata hujan melebihi 20 milimeter (mm) harian.

"Saya ingin mengingatkan bahawa musim Monsun Timur Laut ini akan berlanjutan hingga hujung Mac dan kita harap semua pihak terutama yang berada di kawasan berisiko berwaspada dan bersiap sedia," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619