BERITA UTAMA

EXCO: Negeri giat laksana program kesedaran tingkat daya upaya pengguna

18 Mac 2023, 1:32 PM
EXCO: Negeri giat laksana program kesedaran tingkat daya upaya pengguna

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Selangor akan terus mempergiatkan program advokasi dan kesedaran bagi meningkatkan pendayaupayaan pengguna di negeri ini.

EXCO hal ehwal pengguna berkata kempen dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menumpukan sektor tertentu yang wajar diberi perhatian.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan kajian indeks pendayaupayaan pengguna ketika ini pada tahap sederhana iaitu 63.1 peratus sekali gus menunjukkan rakyat belum mempraktik hak sebagai pengguna.

“Saya akan melihat semula hasil kajian tersebut dan aspek mana perlu diberi perhatian supaya kempen dapat dilakukan dengan berkesan.

“Kita akan merangka program advokasi di setiap peringkat bagi menangani isu kepenggunaan semasa selain lebih aktif memberi pendidikan dan kempen kesedaran kepada pengguna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pengguna peringkat negeri anjuran KPDN Selangor dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Program di Dewan Teratai, Seksyen 19 di sini turut dihadiri Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata karnival bertemakan ‘Pengguna Berdaya, Negara Rahmah Sejahtera’ bertepatan usaha kerajaan bagi memperkasa hak pengguna dan berharap ia memberi impak yang baik kepada hadirin.

Tambahnya, ia juga bagi meningkatkan keberanian pengguna membuat aduan terhadap sebarang kesalahan selain bijak mengurus perbelanjaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup dan persekitaran ekonomi semakin mencabar.

Terdahulu, pelbagai aktiviti bermanfaat disajikan kepada pengunjung antaranya pertandingan gubahan bunga dan buah, mewarna, kuiz pengguna, reruai pameran agensi dan jualan barangan keperluan harian.

Turut disediakan kendera saji, persembahan pentas, pertandingan persahabatan bola tampar antara agensi dan pengajian tinggi awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619