AGENDA

Projek skim jaminan air capai 40.8 peratus, dijangka siap hujung tahun

15 Mac 2023, 4:20 AM
Projek skim jaminan air capai 40.8 peratus, dijangka siap hujung tahun
Projek skim jaminan air capai 40.8 peratus, dijangka siap hujung tahun

SHAH ALAM, 15 MAC: Pelaksanaan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) bagi menyelaras pengurusan air secara holistik di negeri ini mencapai 40.8 peratus setakat 28 Februari.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan projek merangkumi empat pakej kerja utama yang dilaksankan secara berfasa bermula November 2021 dijangka siap hujung tahun ini.

Beliau menjelaskan pakej A yang bermula 24 Jun tahun lalu mencapai 26.91 peratus manakala pakej B yang dimulakan pada 20 Disember 2021 menunjukkan prestasi 52.3 peratus.

"Pakej C yang bermula 5 November 2021 pula mencapai 45.36 peratus dan pakej D bermula 20 Disember 2021 mencatat prestasi 54.61 peratus," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian menambah perancangan skim jaminan air merangkumi dua fasa iaitu bagi menangani pencemaran di Sungai Selangor dan memastikan bekalan air mentah mencukupi untuk menghadapi kemarau.

Di bawah fasa satu, beliau berkata rakyat akan mendapat manfaat melalui konsep pembekalan air berterusan tanpa gangguan jika berlaku pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

[caption id="attachment_566825" align="aligncenter" width="736"] Keadaan kolam tadahan air Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) di Jenderam Hilir, Sepang pada 16 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

"Bagi fasa dua pula, Kerajaan Negeri menumpukan kepada program pengurusan sumber air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan ketika itu," katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM332 juta untuk menjayakan SJAM termasuk RM100 juta yang dikhaskan bagi menjamin operasi loji rawatan air (LRA) jika berlaku pencemaran.

Skim berkenaan turut merangkumi beberapa langkah penyelesaian lain antaranya pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pemantauan skuad Pantas LUAS.

Berikut pelaksanaan empat pakej projek tersebut:

Pakej A: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan Pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor

Pakej B: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor

Pakej C: Kerja-kerja pembinaan pelencongan sungai, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA SSP 1, 2 &3 Bestari Jaya, Kuala Selangor

Pakej D: Kerja-kerja pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja lain berkaitan di muka sauk LRA Sungai Semenyih, Jenderam Hilir

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619