AGENDA

Tahun kesembilan tragedi MH370 tetap dikenang, pencarian diterus

6 Mac 2023, 12:01 AM
Tahun kesembilan tragedi MH370 tetap dikenang, pencarian diterus

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam menegaskan beliau tidak akan sesekali menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu dan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.

Katanya, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak yang meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

Loke berkata tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

“Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Mac 2014, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619