AGENDA

42 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk Syria tiba semalam

25 Feb 2023, 10:48 AM
42 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia untuk Syria tiba semalam

PUTRAJAYA, 25 FEB: Sumbangan bantuan kemanusiaan sebanyak 42 tan dari Malaysia kepada rakyat Syria yang terkesan akibat tragedi gempa bumi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo pada Jumaat.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata sumbangan berkenaan akan diuruskan Bulan Sabit Merah Syria (SARC) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Sumbangan hasil kerjasama kerajaan Malaysia dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu termasuk empat generator; ubat-ubatan; khemah, karpet dan indoor separators; kelengkapan perlindungan diri (personal protective equipment); pakaian dan selimut; barangan keperluan bayi; dan makanan siap sedia untuk dimakan (ready-to-eat).

"Ini berdasarkan keperluan mendesak mangsa gempa bumi hasil laporan penilaian Pasukan Peninjau Malaysia yang telah mengadakan sesi libat urus dengan wakil kerajaan Syria serta pihak yang berkenaan dalam misi khas dari 15 ke 19 Februari lalu," katanya.

Kesemua sumbangan dihantar menggunakan dua penerbangan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan pesawat A400M dan pesawat sewaan khas dari Persatuan Bulan Sabit Merah UAE (ERC).

Pada Rabu lepas, sumbangan awal sebuah generator berkapasiti 110kV disalurkan kepada Syria hasil kerjasama Pasukan Peninjau Khas Malaysia ke Syria yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Datuk Norman Muhamad dan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan.

Generator itu diserahkan Konsul Kehormat Malaysia di Syria Datuk Samir AlKour kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Syria Hussein Makhlouf.

Wisma Putra berkata kerajaan terus komited dalam usaha penghantaran bantuan kemanusiaan ke Syria berpandukan laporan komprehensif daripada Pasukan Peninjau Khas bagi memastikan sumbangan dari Malaysia termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) akan memenuhi keperluan mangsa yang terkesan.

Dua gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter yang berpusat di wilayah Kahramanmaras selatan Turkiye pada 6 Februari lepas turut menggegarkan negara jiran Syria.

Menurut angka rasmi terkini, kira-kira 50,000 orang terbunuh di kedua-dua negara berkenaan akibat bencana itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619