AGENDA

Anggota SAR berdoa tidak ditimpa runtuhan ketika selamat mangsa gempa

22 Feb 2023, 8:30 AM
Anggota SAR berdoa tidak ditimpa runtuhan ketika selamat mangsa gempa

GAZIANTEP (Turkiye), 22 FEB: “Janganlah runtuh, janganlah runtuh,” itu antara yang bermain dalam fikiran dua anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara ketika menggali terowong dan memotong besi konkrit yang berselirat bagi menyelamatkan lima sekeluarga mangsa gempa bumi pada 11 Feb lepas.

Kebimbangan E Saravanan dan Shahidi Mat Saad itu berasas kerana sehari sebelumnya berlaku beberapa gegaran kecil di kawasan operasi mereka di Nurdagi.

Walaupun risau perkara buruk mungkin berlaku, anak jati Parit Buntar dan Tanjung Piandang di Perak itu tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus menggali terowong sepanjang lebih dua meter menggunakan pemotong besi hidrolik dan pemecah konkrit.

Bagi mengukuhkan dinding terowong kecil selebar setengah meter itu, Saravanan berkata mereka menggunakan topang penahan beban sementara agar tidak runtuh.

Tubuh badan Saravanan yang kurus tinggi dan Shahidi yang kecil dan rendah ibarat kerja SAR seperti itu memang ditakdirkan untuk mereka.

Saravanan berkata selepas selesai membina terowong berkenaan, alat pengusung kemudian diturunkan dan mereka berjaya mengeluarkan mangsa dengan kerjasama pasukan SAR tempatan seorang demi seorang dan diserah kepada paramedik.

“Kita ambil masa dalam sejam untuk keluarkan semua mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, tugas mereka di situ belum selesai apabila seorang daripada mangsa memberitahu terdengar suara bayi menangis ketika terperangkap dalam runtuhan konkrit bangunan kediaman setinggi tujuh tingkat itu yang terletak 1.3 kilometer dari Stadium Nurdagi, lokasi pangkalan operasi pasukan SAR negara.

Anggota ketiga pasukan itu, Mohamad Hafiz Abdul Razak kemudian memberanikan diri masuk ke dalam terowong itu semula untuk mencari bayi yang dimaksudkan itu.

Beliau bagaimanapun gagal menemui bayi berkenaan selepas menyusup di celah-celah runtuhan berbahaya itu selama 20 minit.

Mohamad Hafis berkata walaupun berat hati untuk menamatkan usahanya mencari bayi yang dimaksudkan, beliau terpaksa beralah kerana ketika itu terlalu ramai anggota pasukan SAR tempatan berada di tempat runtuhan dan dikhuatiri akan berlaku runtuhan susulan.

Saravanan, Shahidi dan Mohamad Hafiz merupakan sebahagian daripada 24 anggota MAS-01 SMART diketuai Insp Muhamad Zul Khairi Idris yang berjaya mengeluarkan mangsa pada 2.20 petang Sabtu (11 Feb).

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Feb lepas itu, meragut puluhan ribu nyawa dan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus serta Lubnan.

Susulan itu, Turkiye mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619