AGENDA

Bapa empat beranak mangsa tanah runtuh berterima kasih kepada anggota SAR

23 Dis 2022, 11:29 AM
Bapa empat beranak mangsa tanah runtuh berterima kasih kepada anggota SAR

ALOR GAJAH, 23 DIS: Hanya ucapan terima kasih yang mampu diucapkan oleh Tai Seng Fui, 63, apabila empat ahli keluarganya berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Sebagai ayah kepada Tai Chang Lin, 35, beliau berkata dirinya masih dalam proses menerima hakikat kehilangan anak lelaki, menantu serta dua cucunya sekelip mata, selepas menjadi mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm yang berlaku pada Jumaat lepas.

“Terima kasih kepada semua yang membantu termasuk anggota polis yang melancarkan perjalanan mayat dari Kuala Lumpur, untuk upacara pembakaran pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Machap Indah, Machap Baru di sini hari ini.

Terdahulu, jasad Tai dan isterinya Yu Siew Pay, 34, serta dua anaknya Tai Jing Key, 7, dan Tai Jing Rou, 4, dibawa pulang ke Melaka dari Hospital Sungai Buloh sekitar 11.32 pagi tadi.

Jasad empat sekeluarga itu seterusnya di bawa ke Taman Peringatan Huai En, Jelutong, Batu Berendam bagi upacara pembakaran dan abunya dijangka dibawa pulang ke kediaman waris di Taman Machap Indah esok untuk penghormatan terakhir sehingga 29 Dis ini, sebelum disimpan di Taman Peringatan Eternal Berhad, Selandar, Jasin.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hadir menziarahi kedua-dua keluarga mangsa dengan diiringi Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin dan Naib Pengerusi PKR Melaka Ginie Lim Siew Lin.

Tun Mohd Ali dan meluangkan masa hampir satu jam berjumpa dan bertanya khabar kedua-dua keluarga di samping turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga mangsa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619