AGENDA

Gempa bumi: PM terkesan keprihatinan rakyat Malaysia hulurkan bantuan

19 Feb 2023, 7:00 AM
Gempa bumi: PM terkesan keprihatinan rakyat Malaysia hulurkan bantuan

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau amat terkesan dengan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye, yang menyaksikan sebanyak 42 tan lagi barangan bantuan kemanusiaan dihantar semalam.

Menurutnya bantuan ke Damsyik, Syria yang dihantar menerusi dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu merupakan hasil kerjasama kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

“Saya mendoakan Misi Bantuan Kemanusiaan Ke Syria oleh pasukan sukarelawan Malaysia ini dipermudahkan, InsyaAllah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Misi penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia ke Syria sejak negara itu dan juga Turkiye dilanda gempa bumi 6 Feb lalu, berlepas kira-kira 10.15 malam semalam dari Pangkalan Udara TUDM Subang, melibatkan 51 kru termasuk wakil kementerian serta NGO.

Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria itu setakat semalam dilapor telah melepasi jumlah 45,000 mangsa.

Sementara itu, menurut Perdana Menteri dalam sesi temu bual bersama Jabatan Radio dan Televisyen Turkiye (TRT) di Ankara ketika lawatannya ke negara itu Rabu lepas, Malaysia telah menghantar sebanyak tiga pasukan untuk misi bantuan kemanusiaan ke negara itu setakat ini..

“Terdapat (ramai) ...yang menzahirkan rasa sedih dan simpati di seluruh negara, sangat mengagumkan.

“Walaupun baru mengumpulkan dana, dalam beberapa hari, bagi sebuah negara kecil, negara yang agak membangun untuk memperoleh 10 juta dolar serta-merta, saya fikir ini adalah sesuatu yang luar biasa, yang bermaksud Turkiye mempunyai tempat yang istimewa bagi kami,” katanya dipetik sebagai berkata dalam wawancara itu.

Video temu bual itu turut dikongsi di akaun Facebook rasmi Anwar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619