AGENDA

Agong: Kerajaan Perpaduan jamin politik stabil, jana pertumbuhan ekonomi

13 Feb 2023, 4:03 AM
Agong: Kerajaan Perpaduan jamin politik stabil, jana pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti Kerajaan Perpaduan membolehkan negara menjana pertumbuhan ekonomi yang menjamin kesejahteraan rakyat selain dapat mewujudkan kestabilan politik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ia selari dengan hasrat Seri Paduka untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan utuh.

Seri Paduka yang menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 dan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, turut meminta semua pihak berlapang dada dengan hati terbuka untuk menerima serta menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Beta menghargai pengenalan inisiatif negara Madani yang merangkumi aspek-aspek kemampanan; kesejahteraan; daya cipta; hormat; keyakinan; ihsan dan rahmah.

“Besar harapan Beta agar prinsip-prinsip tersebut diterjemahkan dengan baik dalam kerangka untuk mencipta lonjakan buat negara,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengalu-alukan usaha kerajaan membendung ketirisan dana awam termasuk inisiatif mempercepat mekanisme pemberian subsidi bersasar dalam usaha mendepani cabaran ekonomi global, ketidaktentuan ekonomi pasca Covid-19 serta tekanan inflasi yang meningkatkan kos sara hidup.

Seri Paduka juga menghargai komitmen serta tekad kerajaan untuk membanteras rasuah secara agresif dengan menumpukan kepada aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus negara.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyambut baik inisiatif untuk memperkukuh agenda pembangunan ummah berasaskan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara.

Ia merangkumi aspek pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam seperti pendidikan Islam, undang-undang Syariah, institusi kekeluargaan, pensijilan halal Malaysia dan pendidikan tahfiz al-Quran.

“Usaha ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai kekuatan kerohanian, intelektual dan sahsiah diri yang unggul,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap usaha menambah baik sistem perundangan negara bagi menjamin perlindungan rakyat termasuk kanak-kanak, wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) terus dilaksana.

Seri Paduka bertitah ini termasuk inisiatif mewujudkan Pejabat Suruhanjaya Kanak-kanak yang bebas melalui penggubalan akta baharu bagi melindungi kanak-kanak khususnya daripada jenayah seksual secara fizikal dan dalam talian, selain memastikan penyertaan kaum wanita bagi merancakkan ekonomi negara.

Al-Sultan Abdullah turut mengalu-alukan usaha mengkaji semula Akta Orang Kurang Upaya 2008 bagi memelihara kesejahteraan golongan OKU.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga perlu mengutamakan isu kesihatan seperti peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta peningkatan populasi rakyat yang semakin menua.

“Beta mengalu-alukan usaha merangka strategi yang lebih objektif dan inklusif bagi memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam dan menambah baik perkhidmatan kesihatan primer termasuk penyediaan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik kepada warga tua,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdillah bertitah inisiatif bersifat membendung dan menggalakkan pengesanan awal penyakit perlu ditingkatkan menerusi skim peduli kesihatan termasuk penekanan terhadap aspek kesihatan mental. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619